Usaha memperkasa komuniti, memperkukuh kesejahteraan sosial





Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas






TUTONG, Isnin, 10 November. – Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) hari ini menyerahkan sebuah rumah baharu yang telah dibina semula kepada sebuah keluarga di Tutong sebagai sebahagian daripada inisiatif 'Projek Teduh'.


'Projek Teduh' ini menunjukkan komitmen berterusan BIBD dalam usaha memperkasa komuniti serta memperkukuh kesejahteraan sosial.


Majlis penyerahan yang diadakan di Jalan Kampung Bukit Udal, Tanjong Maya di sini, telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi BIBD.


Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri secara rasmi telah menyerahkan rumah tersebut kepada penerima, Awang Muhammad Safwan Lutfi bin Abdullah Ahmad Asnul dan keluarganya.


Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini mencerminkan usaha berterusan BIBD untuk menyediakan penyelesaian lestari, mengukuhkan ketahanan sosioekonomi, serta menyokong keutamaan nasional melalui kerjasama rentas sektor dan inovasi.


Projek yang bermula pada 23 Oktober 2025, telah disiapkan pada 8 November 2025, menunjukkan keberkesanan kolaborasi pelbagai agensi dalam melaksanakan hasil yang memberi impak kepada masyarakat.


Kejayaan pelaksanaan ini dapat dicapai melalui perkongsian strategik antara BIBD, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan, syarikat-syarikat terkemuka dan perniagaan-perniagaan utama, yang bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan (stakeholders) yang berkongsi visi yang sama.


Usaha kolektif ini menggambarkan Whole of Nation Approach yang menegaskan komitmen teguh negara terhadap pembangunan inklusif dan peningkatan sosial yang mampan.


'Projek Teduh' dibiayai melalui gabungan strategik dan sinergi pelbagai sumber dana, mencerminkan komitmen bersama terhadap impak sosial.


Sebahagian besar pembiayaan disumbangkan oleh BIBD melalui zakat perniagaan, menonjolkan dedikasi BIBD terhadap pemberian yang berteraskan matlamat.


Sokongan tambahan turut datang daripada kakitangan BIBD, di samping sumbangan daripada syarikat dan perniagaan terkenal yang berkongsi nilai dan prinsip yang sama dengan BIBD.


Usaha kolektif ini menunjukkan komitmen teguh BIBD dan pihak-pihak berkepentingan dalam memperkasa kebajikan masyarakat melalui program CSR berasaskan nilai yang selaras dengan matlamat pembangunan negara.


Penggerak sumber secara bersama ini bukan sahaja memperkukuh usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menangani cabaran sosial dan kebajikan, tetapi juga mencerminkan semangat Maqasid Shariah dan nilai 'Bruneian at Heart' yang mendalam, di mana rakyat penyayang dan syarikat bertanggungjawab bersatu untuk membantu golongan yang paling memerlukan dalam masyarakat.


Close